Serangan balas dendam Israel ke atas Gaza bersambung semula

Agensi
Disember 2, 2023 09:45 MYT
Angkatan Tentera Israel mengedarkan video menunjukkan serangan udara yang dilakukan zionis itu ke atas Gaza pada Jumaat.
KHAN YOUNIS: Serangan Israel ke atas Gaza bersambung semula selepas tamatnya gencatan senjata sementara selama tujuh hari di antara zionis itu dan pasukan pejuang Hamas.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan, setakat ini 178 orang telah terbunuh sejak pagi Jumaat susulan serangan Israel yang telah melepaskan beberapa roket ke atas Gaza.
Satu sumber memberitahu bahawa perbincangan yang bertujuan untuk melanjutkan gencatan senjata antara kedua-dua pihak di Qatar telah gagal.
Israel juga telah bertindak menggugurkan risalah menggesa penduduk di beberapa kawasan di selatan Gaza meninggalkan tempat tinggal masing-masing dan menuju ke selatan ke Rafah, berhampiran sempadan Mesir.
Pada Khamis, Amerika Syarikat memberi amaran kepada Israel bahawa jumlah kehilangan besar nyawa orang awam" yang berlaku di utara Gaza tidak seharusnya berulang di selatan Gaza.
Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu mengakibatkan 1,200 orang terbunuh, sementara 240 lain dijadikan tebusan.
Manakala di Gaza lebih 14,800 orang telah terbunuh dalam kempen balas dendam Israel, termasuk kira-kira 6,000 kanak-kanak yang maut. - Agensi
#Gaza #gencatan senjata #Hamas #Israel
;