Serangan Al-Aqsa: Tindakan Israel perbuatan keji, tidak berperikemanusiaan - Pemuda UMNO

Fareez Azman
Mei 9, 2021 18:43 MYT
Dalam kejadian pada Sabtu, sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin cedera selepas polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah dalam kejadian di wilayah timur Baitulmaqdis. - Reuters
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zionis Israel menyerang masjid suci Al-Aqsa ketika umat Islam beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan.
Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malayisa, Hafiz Ariffin, tindakan itu satu tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan.
"Betapa zalimnya tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi. Di kala umat Islam sedang beribadah di 10 malam terakhir Ramadan.
"Mereka serang dan ceroboh Masjid suci Al-Aqsa tanpa sedikitpun malu serta hormat terhadap Islam dan masyarakat dunia," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin dilaporkan tercedera dalam serangan tersebut.
Tambahnya, tindakan rejim Zionis itu seperti tidak bertamadun dan rakus mencabuli hak rakyat Palestin bagi memiliki sebuah negara merdeka dan berdaulat.
"Pendirian Malaysia melalui Menteri Luar Negeri yang mahu Israel dipertanggungjawabkan kerana telah mencabuli hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa, mesti turut menjadi pendirian setiap negara di seluruh dunia.
"Tindakan pengusiran secara besar-besaran secara paksa oleh Israel boleh membawa kepada jenayah perang berdasarkan amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya lagi.
Malah, tindakan Israel itu jelasnya lagi tidak akan mengubah hakikat bahawa mereka tetap penceroboh dan pendatang haram di bumi Palestin.
Justeru, perjuangan rakyat Palestin untu mengecapi kebebasan mutlak katanya mesti menjadi perjuangan sejagat.
Dalam kejadian pada Sabtu, sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin cedera selepas polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah dalam kejadian di wilayah timur Baitulmaqdis.
Memetik laporan media antarabangsa, ribuan jemaah berkumpul di majis tersebut pada Jumaat terakhir Ramadan dan melakukan demonstrasi sebagai solidariti terhadap pengusiran yang dilakukan oleh Israel.
Polis dan pasukan sempadan Israel telah menyerang penunjuk perasaan menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom tangan sejak beberapa hari lalu.
#UMNO #Pemuda UMNO #PBB #Merdeka #Islam #Ramadan #Zionis #gas pemedih mata #jenayah #Israel #haram #perbuatan keji #Masjid Al-Aqsa #Palestin #serangan #tentera
;