Serangan Al-Aqsa: Iran gesa PBB kutuk tindakan Israel
Astro Awani
Mei 8, 2021 07:33 MYT
Mei 8, 2021 07:33 MYT
IRAN menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan keras tentera Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa di wilayah timur Baitulmaqdis yang diduduki.
Tehran turut menyifatkan perbuatan rejim itu sebagai jenayah perang.
Lebih 200 cedera dalam pertempuran pada Jumaat antara penduduk Palestin dengan tentera Israel di tempat ketiga paling suci bagi umat Islam itu.
Jurucakap Kementerian Luar, Saeed Khatibzadeh dalam satu kenyataan berkata, Iran mengecam serangan tersebut.
Tambah kenyataan itu, jenayah perang yang dilakukan itu sekali lagi membuktikan kepada dunia sifat jenayah rejim zionis yang menceroboh tanah orang lain.
Ketegangan di Baitulmaqdis meningkat sejak akhir-akhir ini apabila Israel melarang akses penduduk Palestin ke beberapa bahagian di Kota Lama sepanjang bulan Ramadan.
Pada Sabtu, PBB meminta Israel mengakhiri pengusiran secara paksa di wilayah timur Baitulmaqdis yang didudukinya, dengan mengingatkan tindakan itu boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebelum ini melabel Israel bukan sebuah negara tetapi pangkalan pengganas.
#pengganas
#jenayah
#serangan
#Iran
#Israel
#Ramadan
#tentera
#Islam
#PBB
#Kementerian Luar
#Zionis
#cedera
#Masjid Al-Aqsa
#Saeed Khatibzadeh
#pengusiran secara paksa
#pendudukan