Serang rumah bekas isteri dengan 'molotov cocktail', pemilik restoran popular Singapura dipenjara
Agensi
Ogos 18, 2022 15:56 MYT
Ogos 18, 2022 15:56 MYT
SINGAPURA: Gara-gara tidak berpuas hati, seorang lelaki warga Singapura bertindak memandu ke rumah bekas isterinya semasa tempoh pemutus litar (circuit breaker) sebelum melempar bom api (molotov cocktail), menyebabkan kerosakan pada kediaman tersebut.
Singapura melaksanakan tempoh pemutus litar antara 7 April dan 1 Jun 2020 untuk mengekang penularan COVID-19.
Lelaki itu, Ismail Didih Ibrahim merupakan salah seorang pemilik restoran popular Hajah Maimunah di Jalan Pisang, dekat Arab Street.
Tetapi dokumen mahkamah menyatakan bahawa pada masa kesalahan itu dilakukan, dia merupakan pengurus kedai makan milik ibu bapanya.
Susulan itu Ismail, 37, pada Khamis dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan kerosakan, serta kesalahan di bawah Akta COVID-19 (Sementara).
Ismail dan bekas isterinya berkahwin pada 2017 tetapi bercerai dua tahun kemudian.
Kerana mahu membalas dendam, dia memandu ke rumah wanita itu di Telok Kurau pada 12 Mei 2020, membawa bersama beberapa senjata termasuk sebotol pencair (thinner) dan tin semburan cat hitam.
Dia juga membawa baju hujan bagi tujuan penyamaran.
Wanita itu dan ahli keluarganya tidak menyedari kejadian tersebut pada mulanya kerana mereka berada di tingkat atas.
Seorang jiran mereka, terlihat api dan cuba memadamkannya sendiri sebelum memaklumkan kepada keluarga mangsa.
Kebakaran itu menyebabkan kerugian kira-kira SG$6,000 (RM19,387).
Ismail telah membuat pembayaran balik sukarela sebanyak SG$5,000 (RM16,156) kepada bekas isterinya dan menderma SG$3,000 kepada tiga badan amal pilihannya.
Kejadian itu tidak mengakibatkan kecederaan tetapi bekas isteri Ismail menjadi trauma sehingga terpaksa menghadiri sesi kaunseling.
Keluarganya juga membelanjakan kira-kira SG$600 (RM1,938) untuk memasang kamera CCTV di sekitar rumah mereka kerana tidak berasa selamat selepas kejadian itu.
Tiga pakar psikiatri yang merawat Ismail mengesahkan dia mengalami gangguan kemurungan yang teruk.
"Setelah semakan laporan, didapati idea untuk menyerang rumah mangsa dengan molotov cocktail berkemungkinan bersifat impulsif, namun serangan itu adalah disengajakan dan menunjukkan perancangan teliti, bukan didorong kemurungannya," kata pendakwa raya.
Ikat jamin Ismail ditetapkan SG$20,000 (RM64,624) pada Khamis dan dia diperintahkan menyerah diri pada 14 Sept untuk mula menjalani hukuman.