Seramai 25 maut kebakaran studio animasi di Jepun
Bernama
Julai 18, 2019 21:27 MYT
Julai 18, 2019 21:27 MYT
Sekurang-kurangnya 25 terbunuh dan 40 lagi cedera apabila sebuah studio animasi dijilat api di Jepun pada Khamis, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan.
Seorang lelaki membakar bangunan tiga tingkat studio Kyoto Animation, lapor agensi berita Kyodo.
Memetik polis tempatan, laporan itu menyatakan seramai 70 orang berada dalam studio itu ketika kebakaran berlaku.
Api marak selepas suspek berusia 41 tahun didakwa mencurah cecair yang belum diketahui, menurut laporan itu memetik polis dan pegawai bomba wilayah.
Operasi menyelamat masih diteruskan. Polis Jepun sebelum ini berkata, kebakaran bermula kira-kira 10.35 pagi dan pisau turut ditemui di tempat kejadian.
Ditubuhkan pada 1981, Kyoto Animation popular dengan rancangan televisyen seperti "K-On!" dan "The Melancholy of Haruhi Suzumiya," kedua-dua program itu mensasarkan golongan remaja perempuan.
Sejurus laporan mengenai kebakaran yang memusnahkan bangunan studio dan peralatan, peminat studio itu membanjiri laman sosial dengan pelbagai reaksi terutama ucapan takziah dan menyuarakan simpati.
Pengedar rancangan animasi beribu pejabat di Texas, Amerika Syarikat, turut melancarkan kempen mengutip derma dalam talian di laman sesawang Gofundme.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#bomba
#cecair
#Jepun
#kebakaran
#kutip derma
#Kyoto Animation
#laman sosial
#maut
#polis
#rancangan animasi
#studio animasi
#suspek