Serah kepimpinan kepada generasi baharu cara terbaik satukan negara - Biden

Bernama
Julai 25, 2024 02:30 MYT
Joe Biden ketika berucap mengumumkan keputusan beliau menarik diri dari pilihan raya presiden di Oval Office, White House, Washington, 24 Julai 2024. REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu menjelaskan keputusannya untuk menarik diri daripada pilihan raya presiden, menyatakan bahawa cara terbaik untuk menyatukan negara adalah dengan menyerahkan kepimpinan kepada generasi lebih muda.
"Saya memutuskan bahawa cara terbaik adalah dengan menyerahkan 'obor' kepada generasi baharu. Itu adalah cara terbaik untuk menyatukan negara kita," lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Biden selepas menarik diri daripada pemilihan berikutan tekanan yang semakin meningkat dari kalangan Demokrat.
Beliau turut menyokong Naib Presiden Kamala Harris sebagai calon Demokrat menjelang pilihan raya November ini.
"Saya perlu menyatukan parti saya dalam usaha penting ini. Saya menghormati jawatan ini, tetapi saya lebih menyayangi negara saya.
"Ia adalah penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai presiden anda. Tetapi dalam mempertahankan demokrasi yang kini terancam, saya fikir ia lebih penting daripada sebarang gelaran," kata Biden.
Presiden itu turut memuji Harris, menggambarkannya sebagai seorang yang "tegas" dan "berwibawa."
"Beliau telah menjadi rakan kongsi yang luar biasa kepada saya dan seorang pemimpin untuk negara kita. Kini pilihan terletak pada anda, rakyat Amerika," katanya.
Biden berkata beliau akan menumpukan kepada tugasnya sebagai presiden yang berbaki beberapa bulan lagi, dengan usaha untuk menurunkan kos perbelanjaan isi rumah, mengembangkan ekonomi, mempertahankan kebebasan, menyeru menentang kebencian dan ekstremisme serta melindungi kanak-kanak daripada keganasan senjata api.
Beliau berkata beliau akan terus menghimpunkan gabungan negara-negara untuk menghalang Presiden Rusia Vladimir Putin daripada menguasai Ukraine dan mengekalkan kekuatan NATO, serta menyokong sekutu di Pasifik.
Biden juga berjanji untuk berusaha menamatkan perang di Gaza.
"Dan saya akan terus berusaha untuk menamatkan perang di Gaza, membawa pulang semua tawanan dan membawa keamanan dan keselamatan ke Asia Barat serta mengakhiri perang ini," katanya.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Joe Biden #Pilihan Raya Presiden AS #Kamala Harris