Sepotong kek dari majlis perkahwinan Charles-Diana 40 tahun lalu sedia dilelong
Agensi
Ogos 1, 2021 15:51 MYT
Ogos 1, 2021 15:51 MYT
LONDON: Jangan pula ini dimakan!
Sepotong kek majlis perkahwinan antara Putera Charles dan Puteri Diana pada 40 tahun lalu kini boleh menjadi milik sesiapa kerana ia bakal dilelong, lapor AP.
Hanya seberat kira-kira 790 gram itu adalah antara sedikit tinggalan fizikal dari kenangan sebuah upacara gilang-gemilang yang disaksikan orang ramai di seluruh dunia ketika itu.
Potongan kek itu adalah dari salah satu daripada 23 biji kek rasmi yang dihasilkan bagi meraikan tarikh istimewa, 29 Julai 1981, sewaktu pewaris takhta Britain itu disatukan dengan Diana, wanita pilihannya yang baru berusia 20 tahun.
Potongan kek yang sudah dikeraskan itu adalah dari asas bahan marzipan dengan dihiasi bentukan krim gula yang diwarnakan dengan pewarna emas, merah, biru dan perak.
Selepas dipotong, ia diberikan kepada salah seorang anggota dari petugas kediaman baginda Ratu, Moyra Smith di Clarence House.
Smith bagaimanapun telah menyimpan potongan kek itu di dalam bekas khas dengan label bertulis “Handle with Care - Prince Charles & Princess Diane’s Wedding Cake” (Jaga dengan baik - Kek Perkahwinan Putera Charles dan Puteri Diana), dan seterusnya ditandatangani dan bertulis tarikh '29/7/81'.
Keluarga Smith menjual kek tersebut kepada seorang pengumpul pada tahun 2008, namun kini, ia sedia untuk dilelong sekali lagi pada 11 Ogos nanti.
Item itu dijangka meraih nilai lelongan antara 300 Pound (RM1,770) hingga 500 Pound (RM2,940), yang disertai kad turutan upacara, perincian majlis dan aturan sarapan sempena perkahwinan diraja.
“Kelihatannya kek itu masih dalam keadaan baik, sama seperti ketika ia mula-mula dijual, suatu masa dahulu... Tapi kami nasihatkan... jangan ia dimakan!" kata pengendali lelongan, Chris Albury, yang juga penilai kanan di Dominic Winter Auctioneers.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !