Separuh firma Jepun timbang lantik wanita sebagai ahli lembaga pengarah - Tinjauan
Bernama
Jun 21, 2023 17:29 MYT
Jun 21, 2023 17:29 MYT
TOKYO: Hampir separuh daripada syarikat besar Jepun yang tidak pernah mempunyai ahli lembaga pengarah wanita sedang menimbang untuk berbuat demikian, menurut tinjauan NHK pada Rabu, lapor Xinhua.
Menurut tinjauan pendapat ke atas 245 syarikat di bahagian utama Bursa Saham Tokyo yang mengadakan mesyuarat pemegang saham bulan ini, 120 daripadanya berkata mereka sedang mempertimbang untuk melantik wanita sebagai ahli lembaga buat kali pertama.
Pemegang saham di Jepun kini menggesa syarikat supaya membetulkan ketakseimbangan jantina dalam barisan lembaga pengarah masing-masing, lapor penyiar awam itu.
Sementara itu, tinjauan menunjukkan pemimpin perniagaan keberatan untuk memupuk pekerja wanita mereka sendiri sebagai eksekutif, sebaliknya menggaji orang dari luar syarikat.
Kebanyakan firma yang ditinjau berkata mereka akan mencari calon eksekutif wanita dari luar, termasuk peguam dan profesor universiti, manakala hanya enam merancang untuk memilih wanita dari syarikat mereka sendiri.
Awal bulan ini, kerajaan Jepun meluluskan pakej dasar pemerkasaan wanita dengan sasaran wanita menyumbang lebih daripada 30 peratus dalam barisan ahli lembaga pengarah dalam syarikat senaraian utama menjelang 2030.
-- BERNAMA