Sepanyol mula guna anjing robot bantu pihak polis
Agensi
Mac 20, 2024 08:10 MYT
Mac 20, 2024 08:10 MYT
MALAGA: Pihak berkuasa di Malaga membawa anjing robot untuk melakukan ujian rondaan di pusat bandar raya Sepanyol itu pada Selasa.
Kelibat anjing robot itu membuatkan penduduk tempatan teruja.
Mereka juga membawa haiwan peliharaan mereka mendekati anjing robot yang memiliki reka bentuk unik itu.
Dalam dua tahun terakhir, penyelidik dari Universiti Malaga telah menghasilkan robot berwarna hijau dan hitam untuk membantu polis mengesan pelanggaran trafik seperti penggunaan skuter elektrik di kawasan larangan.
Penyelidik projek anjing robot, Almudena Diaz berkata, projek itu dihasilkan untuk membantu meringankan kerja polis.
"Apa yang menonjol dalam projek ini ialah kami menggunakan teknologi 5G untuk teleoperasi robot, untuk menjalankan analisis imej, mengesan situasi berbahaya, seperti penggunaan E-skuter di kawasan larangan," katanya.
Dalam pada itu, anjing robot dikawal jauh ketika ini tetapi akan diintegrasikan dengan kecerdasan buatan (AI) untuk beroperasi secara automatik pada masa depan.