Sepanyol gali jasad mangsa perang saudara, pemerintahan diktator
Bernama
Jun 13, 2023 00:29 MYT
Jun 13, 2023 00:29 MYT
MADRID: Jasad mangsa dari Perang Saudara Sepanyol dan pemerintahan diktator Francisco Franco sedang digali dari kubur besar di Sepanyol, kata kerajaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kerja-kerja mengeluarkan 128 jasad puluhan mangsa yang terbunuh semasa perang antara 1936 hingga 1939 dan pemerintahan diktator Franco, dari 1939 hingga kematiannya pada 1975, bermula pada Isnin berikutan perintah mahkamah yang diperjuangkan oleh keluarga mangsa, menurut Kementerian Presiden, Perhubungan Mahkamah dan Ingatan Demokratik.
Penggalian dibenarkan oleh mahkamah atas permintaan keluarga selepas "mengatasi pelbagai halangan perundangan".
Kubur besar di Sierra de Guadarrama dimusnahkan kira-kira 20,000 buruh paksa antara 1940 dan 1959. Difahamkan, terdapat kira-kira 30,000 hingga 35,000 jasad dikenal pasti dan mangsa yang tidak dikenali dari kedua-dua pihak yang berperang iaitu "Franquistas" dan Republikan dikebumikan di lokasi itu.
Setakat ini, hanya terdapat dua penggalian dibuat. Kerajaan sayap kiri Pedro Sanchez pada awalnya merancang supaya Franco dikebumikan semula pada musim luruh 2019. Jasad diktator itu kini disemadikan di tanah perkuburan di pinggir utara Madrid.
Pada April, jasad pemimpin fasis Jose Antonio Primo de Rivera digali dan dipindahkan ke tanah perkuburan biasa.
Kubur itu dikunjungi kira-kira 400,000 orang setahun dan digelar "Lembah Cuelgamuros" sejak tahun lalu. Dengan pengebumian semula, Madrid mahu menamatkan isu berhubung perang saudara secara muktamad dan menjadikan lembah itu sebagai "tempat perdamaian".
Jumlah mangsa yang hilang dalam Perang Saudara Sepanyol dan pemerintahan diktator dianggarkan sekurang-kurangnya 100,000 hingga 150,000 orang.
Pencarian berpuluh-puluh ribu mangsa yang dikebumikan tanpa nama di seluruh negara dijadikan "tugas negara" musim luruh lalu susulan kelulusan perundangan mengenai "peringatan demokrasi".
Undang-undang itu membenarkan keluarga memohon kepada mahkamah untuk penggalian di Lembah Cuelgamuros.
-- BERNAMA