Sepanyol diselebungi debu jingga
Astro Awani
Mac 16, 2022 12:00 MYT
Mac 16, 2022 12:00 MYT
UDARA panas dari gurun Sahara yang telah merebak sehingga Laut Mediterranean menyebabkan Sepanyol diselubungi debu berwarna jingga.
Ia turut menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran kualiti udara yang sangat buruk pada Selasa di Madrid dan sebahagian besar negara itu.
Memetik laporan antarabangsa, indeks kualiti udara negara menyenaraikan ibu kota dan sebahagian besar pantai tenggara sebagai "amat tidak sihat".
Ia merupakan kategori kualiti udara yang paling teruk.
Malah, pusat kaji cuaca Sepanyol menyifatkan ribut debu dari gurun Sahara itu sebagai “luar biasa dan sangat bahaya”.
Namun, ketika ini pihaknya masih belum jelas sama ada keadaan ini adalah yang terburuk negara itu pernah alami.
Dijangkakan keadaan buruk itu akan berterusan sehingga Rabu dan boleh menular sehingga utara Belanda dan barat laut Jerman.
Pada Selasa, udara buruk itu telah menular sehingga kejiranan Portugal.
Susulan keadaan itu, rakyat Sepanyol berdepan dengan keadaan yang tidak selesa apabila keadaan udara kelihatan jingga.
Di beberapa kawasan yang teruk, pihak berkuasa menasihati orang ramai untuk menggunakan pelitup muka sekiranya berada di luar rumah atau melakukan senaman di luar.