Sepanyol denda Apple, Amazon AS$217.8 juta kerana amalan antipersaingan
Bernama
Julai 19, 2023 12:50 MYT
Julai 19, 2023 12:50 MYT
MOSCOW: Suruhanjaya Pasaran dan Persaingan Kebangsaan Sepanyol (CNMC) pada Selasa berkata Apple dan Amazon didenda sejumlah 194 juta euro (AS$217.8 juta) kerana mengenakan sekatan ke atas persaingan dalam pasaran dalam talian di Sepanyol, lapor Sputnik.
"CNMC mendenda pelbagai syarikat dalam kumpulan Amazon dan Apple berjumlah 194,150,000 euro kerana bersetuju dan melaksanakan sekatan persaingan tertentu di pasaran dalam talian di Amazon (www.amazon.es) yang menjejaskan penjual semula pihak ketiga produk Apple serta produk yang bersaing dengan Apple," kata agensi itu dalam satu kenyataan.
CNMC mendenda syarikat-syarikat Apple Group 143,640,000 euro dan syarikat-syarikat dalam Group Amazon sejumlah 50,510,000 euro.
Pada 31 Oktober 2018, Amazon dan Apple menandatangani dua kontrak yang mengemas kini syarat Amazon sebagai Penjual Semula Sah Apple.
"Kedua-dua syarikat bersetuju bahawa hanya beberapa pengedar yang ditetapkan oleh Apple sahaja boleh menjual produk jenama Apple melalui laman web Amazon di Sepanyol," kata agensi itu.
Akibatnya, lebih 90 peratus penjual semula yang menggunakan laman Amazon di Sepanyol untuk menjual produk Apple dikeluarkan daripada pasaran dalam talian utama di negara itu menyebabkan harga produk Apple di Sepanyol meningkat.
Amazon dan Apple juga menyekat keupayaan jenama lain bersaing dengan Apple untuk memperoleh ruang pengiklanan di laman Amazon di Sepanyol, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA