Sepanyol ambil alih Pengerusi EU, mahu mengindustrikan semula Eropah
Bernama
Februari 17, 2023 14:40 MYT
Februari 17, 2023 14:40 MYT
VIENNA: Sepanyol yang akan mengambil alih jawatan pengerusi Kesatuan Eropah (EU) mahu blok itu menjadi lebih bebas dan matlamat itu boleh dicapai dengan mengukuhkan sektor perindustrian, kata Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Khamis.
Sanchez berada di Vienna untuk bertemu dengan Canselor Karl Nehammer sempena bermulanya siri lawatannya ke ibu kota Eropah sebagai persiapan untuk Sepanyol mengambil alih jawatan presiden Majlis EU, pada Julai, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Merujuk pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, Sanchez berkata: "jika kita belajar sesuatu daripada perang di Ukraine, kita perlu meningkatkan autonomi strategik kita."
Sanchez turut memetik isu kekurangan pelitup muka dan peralatan perubatan semasa pandemik antara contoh betapa perlunya Eropah menjadi lebih berdikari.
"Kami belajar daripada wabak itu, kami belajar akibat perang, bahawa kami perlu mengindustrikan semula Eropah," kata Sanchez. Ini mesti dilakukan melalui perubahan alam sekitar dan ekonomi, bukan perlindungan," katanya.
Beliau juga berkata EU perlu mencari jalan untuk mencari sekutu di wilayah lain.
Sepanyol mengambil alih jawatan presiden Majlis EU daripada Sweden pada separuh kedua tahun ini.
-- BERNAMA