Sepanyol akan beri dua dos vaksin BioNTech-Pfizer - Menteri Kesihatan

Astro Awani
Januari 5, 2021 03:01 MYT
BioNTech-Pfizer berkata imuniti penerima vaksin hanya dijamin untuk bertahan selama satu minggu, selepas individu tersebut diberikan dos kedua vaksin. - REUTERS
SEPANYOL akan memberikan dua dos vaksin BioNTech-Pfizer dalam tempoh yang ditentukan oleh pembangun vaksin berkenaan, kata Menteri Kesihatannya, Salvador Illa pada Isnin.
Keputusan tersebut bertentangan dengan perubahan dasar United Kingdom baru-baru ini untuk tidak lagi menyimpan dos vaksin untuk pusingan kedua tiga minggu selepas pemberian dos pertama.
Sebaliknya, memberikan satu dos kepada lebih ramai orang.
Jerman juga mempertimbangkan pilihan tersebut.
BioNTech-Pfizer berkata imuniti penerima vaksin hanya dijamin untuk bertahan selama satu minggu, selepas individu tersebut diberikan dos kedua vaksin.
Sejak kempen vaksinasi tersebut bermula, sekitar 82,834 rakyat Sepanyol telah menerima dos pertama vaksin tersebut setakat ini.
“Kami telah menerima penghantaran ketiga vaksin itu dan kami berharap kempen vaksinasi kami dapat mencapai kepantasan yang diidamkan dalam beberapa minggu akan datang.
“Kami masih mengesyorkan untuk memberikan dos kedua vaksin dalam tempoh yang ditentukan BioNTech-Pfizer,” kata Illa.
Tambahnya, pihaknya berharap untuk memvaksin sekitar 15 juta hingga 20 juta rakyat Sepanyol pada Mei-Jun.
Doktor kecewa dengan kempen vaksinasi yang perlahan
Bagaimanapun, doktor dan pakar kesihatan meluahkan kekecewaan mereka kerana kempen tersebut bermula dengan perlahan dengan kurang daripada 90,000 orang diberikan vaksin sejak Kesatuan Eropah (EU) meluluskannya dua minggu yang lalu.
Kempen tersebut terhenti seketika disebabkan hujung minggu yang panjang sempena Tahun Baharu dengan ramai kakitangan sektor kesihatan yang masih bercuti dan warga rumah orang tua yang mengunjungi saudara-mara.
Beberapa wilayah juga mengadu bahawa mereka mengalami kelewatan dalam menerima vaksin berkenaan pada minggu lalu.
“Ia cukup mengecewakan dan membimbangkan.
“Ia merupakan kesempatan baik untuk memberikan dorongan untuk memerangi virus itu dan menjadi contoh,” kata pakar epidimeologi dan penyelidik di Institut Kesihatan Global Barcelona, Quique Bassat.
#sepanyol #vaksin #BioNTech-Pfizer #Menteri Kesihatannya #Salvador Illa #dua dos