Seoul nafi pemimpin Korea Utara Kim Jong-un kini tenat

Isabelle Leong
April 21, 2020 16:19 MYT
Untuk rekod, ini bukan kali timbulnya desas-desus mengenai kesihatannya yang mencetuskan spekulasi dan kemudiannya diberhentikan. - AP Photo/Evan Vucci
Laporan berkenaan kononnya pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-Un yang dikatakan berada “dalam keadaan kritikal” susulan pembedahan jantung adalah tidak benar, kata pegawai Korea Selatan.
Sumber Pejabat Presiden di Seoul berkata tiada berita ataupun petanda daripada Korea Utara yang mengatakan Jong-un, 36, kini “sakit tenat”.
Memetik laporan Aljazeera, spekulasi mengenai kesihatan Jong-un meningkat disebabkan ketiadaannya pada sambutan hari lahir datuknya pada 15 April lalu.
Jong-un kali terakhir membuat penampilan di media rasmi Korea Utara pada 11 April.
Pada 15 April, yang merupakan sambutan paling meriah buat negara itu bagi mengingati kelahiran pengasasnya Kim Il Sung, disambut tanpa kehadiran Jong Un.
Laman web khusus yang dikendalikan oleh warga Korea Utara yang berpaling tadah, The Daily NK pada Selasa melaporkan bahawa Jong-un kini dalam proses pemulihan di sebuah vila di resort Mount Kumgang susulan menjalani pembedahan pada 12 April lalu.
Untuk rekod, ini bukan kali pertaman timbulnya desas-desus mengenai kesihatannya yang mencetuskan spekulasi dan kemudiannya diberhentikan.
#kesihatan #Kim Jong-un #Korea Selatan #Korea Utara #pembedahan jantung #pemimpin #presiden #sakit tenat #Seoul
;