Seoul dilitupi salji, banyak penerbangan dibatal, tangguh

Bernama
November 27, 2024 17:31 MYT
Gwanghwamun Square dan Istana Gyeongbok diselimuti salji di Seoul, Korea Selatan, hari ini. - Gambar/ AP
SEOUL: Seoul diliputi salji melebihi 16 sentimeter (cm) pada Rabu, mencatat rekod baharu bagi November sejak pemerhatian cuaca moden dimulakan pada 1907, menurut agensi cuaca negara.
Agensi berita Yonhap melaporkan setakat 7 pagi waktu tempatan, Seoul menerima 16.5 cm salji, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 12.4 cm pada 28 Nov 1972, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).
Amaran salji tebal dikeluarkan di kawasan timur laut Seoul, termasuk Nowon, Seongbuk dan Dobong, menurut KMA dan kerajaan metropolitan Seoul.
Amaran dikeluarkan apabila salji mencecah 20 cm dalam tempoh 24 jam.
Sebahagian besar kawasan termasuk Seoul, sebahagian daripada Wilayah Chungcheong Utara, timur Wilayah Jeolla Utara dan beberapa kawasan pergunungan di Wilayah Gyeongsang Utara dijangka menerima satu hingga tiga cm salji setiap jam pada waktu pagi, sementara salji dijangka berterusan hingga malam di Wilayah Gangwon.
Salji dan hujan diramal melanda seluruh negara sehingga pagi Khamis.
Sementara itu, sebanyak 12 penerbangan dibatalkan manakala 38 penerbangan ditangguhkan setakat 9 pagi, menurut Korea Airports Corp dan Incheon International Airport Corp.
Kereta api bawah tanah Seoul Line 9 juga mengalami kelewatan sehingga sembilan minit pada waktu puncak, menyebabkan kesesakan di platform.
Kementerian Dalam Negeri mengaktifkan operasi Tahap 1 di Ibu Pejabat Tindakan Kaunter Bencana dan Keselamatan Pusat dan menaikkan amaran salji ke tahap "berjaga-jaga".
Menara kawalan bencana memberi amaran mengenai kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, kemalangan dan isu keselamatan pejalan kaki akibat salji tebal.
Sejak 7 pagi, kerajaan metropolitan Seoul memulakan operasi pembersihan salji dengan kerjasama kerajaan tempatan dan agensi berkaitan.
Jalan menuju Gunung Inwang dan Gunung Bugak, serta jalan di Samcheong-dong berhampiran Istana Gyeongbok dan Taman Waryong ditutup kepada pengunjung.
-- BERNAMA
#Seoul #salji #penerbangan batal #rekod baharu
;