Seorang wanita maut akibat rabies selepas pulang dari Filipina
Agensi
Mei 11, 2019 10:50 MYT
Mei 11, 2019 10:50 MYT
SEORANG wanita Norway meninggal dunia selepas dijangkiti virus rabies dari anjing liar yang ditemuinya di Filipina.
Birgitte Kallestad, 24, difahamkan menemui seekor anak anjing di tepi jalan ketika sedang bercuti bersama rakannya di negara itu.
Keluarganya dalam satu kenyataan menjelaskan anak anjing itu telah menjangkiti Kallestad selepas dia membawa pulang anjing tersebut ke pusat peranginan mereka.
Dia didapati mula sakit selepas pulang ke Norway dan tidak membuat sebarang pemeriksaan kesihatan di peringkat awal.
Setelah keadaannya semakin membimbangkan, dia berjumpa dengan doktor dan beberapa kali dikejarkan ke bilik kecemasan hospital./
Bagaimanapun, doktor tidak dapat mengesahkan penyakit yang dihadapinya ketika itu.
Dia meninggal dunia pada Isnin di hospital yang juga merupakan tempat dia bekerja.
Ini merupakan kematian pertama berkaitan rabies di Norway selama lebih 200 tahun.
Menurut ahli keluarganya, Kallestad merupakan seorang pencinta haiwan.
“Kami bimbang sekiranya kejadian ini berlaku kepada orang lain. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja terutamanya kepada pencinta haiwan seperti anak kami,” kata keluarganya.
Virus rabies boleh dirawat namun, sekiranya ia tidak dirawat pada peringkat awal, ia boleh menyebabkan jangkitan yang mengancam nyawa kerana ia menyerang otak dan sistem saraf manusia.
Ia juga telah membunuh ribuan orang setiap tahun, kebanyakannya di Asia dan Afrika, di mana banyak anjing terkena wabak berkenaan.
Vaksin rabies tidak diwajibkan di bawah undang-undang Norway, tetapi Institut Kesihatan Awam Norway mengesyorkan vaksin itu diambil oleh mereka yang ingin ke luar negara seperti Filipina.
Simpton awal bagi penyakit ini termasuk rasa bimbang, sakit kepala dan demam, halusinasi, kegagalan pernafasan dan kekejangan otot.
Sekiranya anda digigit, dicakar atau dijilat oleh binatang yang dijangkiti rabies, anda wajib mencuci luka atau kawasan yang terkena itu dengan sabun antiseptik dan air serta terus dapatkan nasihat perubatan tanpa berlengah.
Setiap tahun, lebih daripada 15 juta orang di seluruh dunia menerima suntikan selepas terkena gigitan dan ia sedikit sebanyak telah menghalang ratusan kematian.