Seorang polis maut, dua lagi cedera dalam serangan di Narathiwat
Bernama
Mac 7, 2020 16:59 MYT
Mac 7, 2020 16:59 MYT
Seorang anggota polis maut dan dua lagi cedera dalam satu serangan di Si Sakhon, Narathiwat, selatan Thailand.
Dalam kejadian tengah malam tadi, tiga anggota polis yang sedang meronda dengan menaiki sebuah trak pikap dipercayai ditembak sekumpulan anggota bersenjata di Kampung Sako di Daerah Si Sakhon.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mejar Jeneral Polis Narin Busaman berkata siasatan polis mendapati anggota kumpulan bersenjata itu bersembunyi di kawasan hutan berhampiran dan melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah polis yang sedang membuat rondaan.
"Hampir 100 kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian,
"Polis percaya sekurang-kurangnya 10 anggota kumpulan bersenjata terlibat dalam serangan kali ini," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Seorang anggota polis meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Si Sakhon.
Beliau berkata suspek turut membakar trak pikap tersebut sebelum melarikan diri.
-- BERNAMA