Seorang maut selepas terperangkap dalam enjin jet KLM di Amsterdam

Bernama
Mei 30, 2024 15:55 MYT
Identiti si mati masih belum dikenal pasti dan penyiasat tidak tahu sama ada kejadian itu adalah kemalangan atau bunuh diri. - Gambar fail/AP
WASHINGTON: Seorang individu tidak dikenali maut selepas terperangkap di dalam enjin jet penerbangan KLM petang semalam di Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol, lapor United Press International (UPI).
Insiden maut itu berlaku di Schiphol pada Rabu, apabila mangsa terjebak dalam enjin pesawat yang sedang beroperasi, kata pegawai KLM Royal Dutch Airlines dalam satu kenyataan dalam talian. Malangnya, individu berkenaan meninggal dunia.
Pegawai KLM berkata Penerbangan KL1341 sedang bersiap untuk berlepas ke Billund, Denmark, apabila kejadian maut itu berlaku di lapangan.
Kami menjaga penumpang dan pekerja yang menyaksikan kejadian itu, kata KLM.
Insiden itu sedang disiasat oleh Marechaussee Diraja Belanda.
Agensi penyiasat itu menyatakan bahawa semua penumpang dan kakitangan KLM telah turun dari pesawat dan sedang menerima penjagaan.
Identiti si mati masih belum dikenal pasti dan penyiasat tidak tahu sama ada kejadian itu adalah kemalangan atau bunuh diri.
Pesawat berkenaan adalah jet Embraer yang digunakan untuk penerbangan yang agak singkat oleh perkhidmatan udara Cityhopper KLM yang terbang ke pelbagai lokasi di Eropah.
Lapangan terbang Schiphol di Amsterdam merupakan satu daripada hab terbesar di Eropah dan merupakan tempat penyanyi rap Nicki Minaj ditahan dan didenda kerana memiliki dadah pada Sabtu.
-- BERNAMA
#lelaki maut #terperangkap di dalam enjin jet #penerbangan KLM #Lapangan Terbang Amsterdam
;