Seorang maut, lima cedera insiden tembakan di New York
Bernama
Februari 13, 2024 15:59 MYT
Februari 13, 2024 15:59 MYT
NEW YORK: Seorang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam insiden tembakan di stesen kereta api bawah tanah di Bronx, di sini pada Isnin, menurut polis tempatan, lapor Xinhua.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada pertikaian antara dua kumpulan remaja yang menggunakan pengangkutan berkenaan.
Menurut laporan media, seorang pengguna kereta api berusia 34 tahun terbunuh manakala dua remaja antara mangsa yang cedera.
Ketua transit di Jabatan Polis New York, Michael Kemper menyifatkan kejadian itu sebagai kes terpencil.
Polis tempatan masih berusaha mengenal pasti sekurang-kurangnya seorang lagi penyerang yang melarikan diri dari tempat kejadian. - Bernama