Seorang maut, lima cedera dalam serangan bersenjatakan pisau di London
Agensi
Ogos 4, 2016 10:14 MYT
Ogos 4, 2016 10:14 MYT
Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera dalam sebuah insiden serangan bersenjatakan pisau di pusat kota London pada Rabu, pada masa yang sama pihak berkuasa masih menyiasat jika ia ada kaitan dengan keganasan.
Agensi berita AFP melaporkan, seorang lelaki sudah ditangkap di lokasi kejadian iaitu Russel Square, selepas anggota polis melepaskan tembakan perenjat elektrik (taser) kepadanya.
“Faktor keganasan adalah satu kebarangkalian yang sedang disiasat buat masa ini,” ujar polis London dalam satu kenyataan.
Wanita itu sempat dirawat anggota paramedik di lokasi kejadian, namun dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Setakat ini tiada maklumat lanjut tentang mangsa lain yang cedera.
Sekumpulan anggota polis digegaskan ke lokasi yang terletak berdekatan dengan British Museum dan University of London itu, untuk mengawal situasi.
Begitupun, polis turut menyatakan bahawa Isu kesihatan mental menjadi faktor yang signifikan dalam insiden berkenaan.
"Petunjuk awal mengambil kira soal kesihatan mental dan ia merupakan faktor penting dalam kes ini. Ia tentunya menjadi aspek utama dalam siasatan.
"Namun, dalam situasi ini kami kami terbuka dalam mengenal pasti motif kejadian termasuk sekiranya keganasan menjadi pendorongnya," ujar pegawai polis kanan, Mark Rowley dalam satu kenyataan.