Seorang maut, lima cedera dalam ribut di selatan Thai

Bernama
Mei 24, 2016 22:33 MYT
Selain Satun, kejadian ribut kencang turut melanda Pattani, Yala dan Narathiwat.
Seorang wanita berusia 44 tahun maut manakala lima yang lain cedera apabila ribut kencang melanda wilayah Satun di selatan Thai menumbangkan pokok-pokok dan tiang elektrik lewat hari ini.
Ketua Pejabat Daerah Khuan Kalung, Satun, Boonchuai Homyamyen berkata, dalam kejadian petang tadi sebatang pokok berusia 100 tahun tumbang akibat ribut dan menghempap sebuah rumah di Mukim Tungnui, menyebabkan wanita itu maut.
"Dua daripada lima yang cedera, adalah kanak-kanak berusia setahun dan lapan bulan," katanya kepada pemberita, hari ini dan menambah, mereka sedang dirawat di Hospital Khuan Kalung.
Kejadian ribut kencang itu katanya, turut melanda Pattani, Yala dan Narathiwat menyebabkan kediaman penduduk tempatan dan sekolah rosak selain pokok-pokok tumbang.
Sekolah-sekolah yang terjejas katanya, akan ditutup sementara waktu bagi membolehkan kerosakan diperbaiki.
#berita bencana #kejadian ribut #Ribut di selatan Thai #Satun #Selatan Thai
;