Seorang maut, empat cedera dalam tembakan rambang di Malmo
Malik Ridhwan
Jun 18, 2018 07:33 MYT
Jun 18, 2018 07:33 MYT
Seorang maut manakala empat yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan rambang di bandar Malmo, selatan Sweden pada Isnin malam, kata polis.
Kelima-lima mangsa dikejarkan ke hospital susulan kejadian tersebut.
“Seorang lelaki berusia 18 tahun maut pada malam kejadian,” kata jurucakap polis, Stephan Soderholm.
Polis kini sedang menyoal saksi selepas mengepung kawasan di mana serangan itu berlaku.
Belum ada lagi tangkapan dibuat namun polis mengesahkan insiden tersebut tiada kaitan dengan keganasan, lapor Reuters.
Sementara itu akhbar tempatan melaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) berhampiran sebuah balai polis.
Tabloid Aftonbladet memetik saksi sebagai berkata mereka mendengar kira-kira 15 hingga 20 tembakan dilepaskan semasa insiden itu.
Saksi, Jonatan Burhoff memberitahu akhbar berkenaan bahawa dia melihat mangsa cedera dibawa keluar dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan persendirian yang dipandu “selaju mungkin.”
Namun dalam satu kenyataan polis yang dikeluarkan sejurus insiden itu, hanya "seorang mangsa dikejarkan ke hospital dengan menaiki kenderaan persendirian".
Tambahnya, kawalan keselamatan di kawasan hospital telah dipertingkatkan.