Seorang maut dalam pergaduhan dua kumpulan silat Indonesia di Taiwan
Agensi
September 6, 2023 16:41 MYT
September 6, 2023 16:41 MYT
TAIPEI: Akibat tidak dapat mencapai kata persetujuan, dua kumpulan silat Indonesia di Taiwan terlibat dalam satu pergaduhan di kawasan umum hingga mengakibatkan seorang maut manakala seorang lagi cedera parah.
Dipetik dari Taiwan News, kes pergaduhan yang melibatkan pelbagai senjata tajam itu berlaku pada Sabtu lalu (2 September) di pekarangan stesen kereta api Changhua.
Pihak polis setakat ini sudah menahan seramai 29 orang untuk membantu siasatan. Suspek utama pembunuhan yang berusia 24 tahun pula berjaya ditahan di bandar Taichung selepas 16 jam diburu pihak berkuasa.
Lelaki yang maut itu telah disahkan sebagai warga negara Indonesia, berusia 32 tahun, yang berasal dari Jawa Timur, manakala mangsa yang cedera parah merupakan saudara kembarnya yang merupakan pekerja migran.
Dalam siasatan lanjut, polis Taiwan mendedahkan bahawa 15 suspek kini dikaitkan dengan kesalahan jenayah berat yang lain, termasuk tuduhan pembunuhan, melakukan serangan, menyertai pergaduhan yang menyebabkan kematian.
Menurut polis, dua kumpulan perguruan silat itu terlibat dalam perselisihan mengenai latihan pencak silat. Kedua-duanya mengadakan pertemuan untuk berbincang tentang hal itu, namun tiada persetujuan dicapai seterusnya situasi menjadi semakin tegang hingga berakhir dengan pergaduhan.
Polisi turut menyita senjata pelbagai jenis antaranya pisau, parang, pedang, nunchaku, batang besi, dan beberapa barang lain.
Mangsa yang cedera parah sedang dirawat di hospital.