Seorang maut, beberapa individu cedera dalam insiden kereta rempuh pejalan kaki di Mannheim, Jerman

Bernama
Mac 3, 2025 06:30 MYT
Anggota polis mengawal keadaan di lokasi kejadian di mana sebuah kereta merempuh orang ramai di Mannheim, Jerman, pada Isnin. - Gambar Reuters
BERLIN: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala beberapa orang lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki di Bandar Mannheim, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik pihak berkuasa Jerman pada Isnin.
Jurucakap polis, Stefan Wilhelm memberitahu pemberita, beberapa mangsa yang cedera telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan serius, namun beliau tidak dapat memberikan angka tepat buat masa ini.
"Kami boleh mengesahkan bahawa seorang suspek telah ditahan. Sama ada terdapat suspek lain, kami tidak dapat memberikan maklumat buat masa ini kerana siasatan masih dijalankan," katanya.
Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan kenyataan di platform X, meminta orang ramai untuk tetap berada di dalam rumah dan mengelakkan kawasan pusat bandar Mannheim susulan operasi polis yang masih berlangsung.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada insiden itu diklasifikasikan sebagai serangan pengganas. Identiti serta motif suspek juga masih belum dikenal pasti.
Polis menyatakan butiran lanjut akan dimaklumkan sepanjang hari apabila maklumat baharu diperoleh.
- BERNAMA
#kereta rempuh #pejalan kaki #Mannheim Jerman #pengganas
;