Seorang maut akibat gigitan ular setiap 4-6 minit di seluruh dunia

Bernama
September 17, 2024 07:30 MYT
Menurut WHO, terdapat antara 1.8 dan 2.7 juta kes keracunan gigitan ular setiap tahun yang mengakibatkan antara 81,410 dan 137,880 kematian. - Gambar hiasan/Wikipedia
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata seorang maut akibat gigitan ular setiap 4 hingga 6 minit di seluruh dunia, dan lebih satu pertiga daripada mangsa berumur di bawah 20 tahun, kebanyakannya pekerja pertanian dan kanak-kanak, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Kesan kesihatan awam terbesar gigitan ular berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana dalam persekitaran tropika dan subtropika.
Kebanyakannya di Asia, Afrika dan Amerika Latin, kata Dr David Williams, Pegawai Teknikal (antivenom) di Jabatan Peraturan dan Prakelayakan di WHO, dalam sidang akhbar yang diadakan semalam di Geneva untuk menandakan Hari Kesedaran Gigitan Ular Sedunia, yang jatuh pada 19 September setiap tahun.
Beliau menjelaskan bahawa antivenom, rawatan paling berkesan yang tersedia pada masa ini untuk gigitan ular, kekurangan bekalan di banyak kawasan yang paling terjejas di dunia.
Mangsa yang terselamat daripada gigitan ular hidup dengan kecacatan jangka panjang atau kekal, yang membawa kepada kehilangan pendapatan berterusan untuk keluarga jika pencari nafkah adalah mangsa, kata pakar WHO.
Menurut WHO, terdapat antara 1.8 dan 2.7 juta kes keracunan gigitan ular setiap tahun yang mengakibatkan antara 81,410 dan 137,880 kematian.
Bagi setiap orang yang meninggal dunia, terdapat tiga lagi yang mengalami kecacatan jangka panjang atau kekal.
-- BERNAMA
#WHO #ular #gigitan ular #antivenom
;