Seorang maut, 5 cedera dalam insiden tembakan di hospital Pennsylvania
Bernama
Februari 23, 2025 14:30 MYT
Februari 23, 2025 14:30 MYT
Seorang maut dan lima cedera dalam insiden tembakan di Hospital Memorial UPMC, Pennsylvania, AS. -Reuters
MOSCOW: Seorang maut manakala lima yang lain cedera dalam insiden tembakan di sebuah hospital di Pennsylvania, Amerika Syarikat pada Sabtu, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik ABC News.
Ringkasan AI
- Seorang maut dan lima cedera dalam insiden tembakan di Hospital Memorial UPMC, Pennsylvania.
- Suspek, Diogenes Ortiz, bersenjatakan pistol dan menjadikan beberapa kakitangan sebagai tebusan sebelum melepaskan tembakan.
- Tiga pegawai polis turut terkena tembakan, dengan seorang daripada mereka meninggal dunia. Polis terpaksa melepaskan tembakan, menyebabkan suspek terbunuh di tempat kejadian.
Suspek, Diogenes Ortiz, bersenjatakan pistol ketika memasuki Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Memorial UPMC sebelum menjadikan beberapa kakitangan sebagai tebusan.
Dia melepaskan tembakan ke arah seorang doktor, jururawat dan penjaga hospital, yang kini berada dalam keadaan stabil.
Selain itu, tiga pegawai polis turut terkena tembakan, dengan seorang daripada mereka meninggal dunia.
Pihak berkuasa yang tiba di lokasi cuba berunding, namun Ortiz bertindak menjadikan seorang petugas perubatan sebagai tebusan.
Keadaan itu memaksa polis melepaskan tembakan, menyebabkan suspek terbunuh di tempat kejadian.
Motif serangan masih belum dikenal pasti, dan pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut.
-- BERNAMA