Seorang maut, 49 cedera dalam pertempuran di sempadan Gaza-Israel
Agensi
Mei 11, 2018 07:13 MYT
Mei 11, 2018 07:13 MYT
Pertempuran tanpa noktah, warga Palestin terus cekal dan bersemangat menuntut hak mereka.
Terbaharu, pertempuran di antara warga Palestin dan tentera Israel masih terus rancak berlaku di sempadan Gaza - Israel.
Menerusi tunjuk perasaan yang dinamakan sebagai Perarakan Kepulangan Besar-Besaran itu, seorang warga Palestin maut manakala ratusan lain cedera dalam pertempuran dengan tentera rejim.
Mangsa yang terkorban dalam pertempuran terbaharu itu merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun maut akibat ditembak di bahagian dada.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza mengesahkan angka terbaharu itu menjadikan jumlah kematian terus meningkat kepada 44 orang sejak protes mingguan ini diadakan pada penghujung Mac lepas.
Jumlah warga Palestin yang mengalami kecederaan dalam pertempuran sama juga meningkat 1,700 setakat ini.
Semasa pertempuran berlaku, seperti biasa tentera rejim yang kejam melepaskan peluru hidup dan menyembur gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan yang hanya bersenjatakan batu.
Penganjur gerakan tunjuk perasaan itu menjangkakan lebih ramai warga Palestin yang akan berkumpul di sana beberapa hari lagi.
Ia bagi memperingati hari Nakba atau bencana yang jatuh pada 15 Mei mana ratusan ribu penduduk Palestin menjadi pelarian selepas penubuhan Israel pada 1948.