Seorang maut, 16 cedera di pusat pemeriksaan Tuas

Agensi
Februari 26, 2019 09:15 MYT
Lorong kenderaan berat di pusat pemeriksaan Tuas ditutup susulan satu kemalangan melibatkan sebuah bas. - Foto Facebook/Alexander Cheong
Seorang maut manakala 16 lagi cedera selepas sebuah bas melanggar pembahagi jalan berdekatan pusat pemeriksaan Tuas pagi tadi.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pada jam 4.25 pagi, mereka menerima panggilan untuk bantuan pertolongan di 501 Jalan Ahmad Ibrahim.
“Satu mayat yang dijumpai dan 16 orang cedera itu telah dibawa ke Hospital Umum Ng Teng Fong dan Hospital Universiti Nasional,” kata SCDF lagi.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksa (ICA) berkata, lorong kenderaan berat menuju ke Singapura ditutup selepas kejadian tersebut dengan bas serta lori dari Malaysia turut dilencongkan.
ICA telah memaklumkan kepada pemandu mengenai kejadian tersebut melalui Facebook dan menasihatkan mereka untuk menggunakan Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Sementara itu, dalam satu muat naik pada jam 7 pagi, status di FB ICA menyebut, trafik kembali seperti biasa, namun lorong untuk kenderaan berat masih lagi ditutup.
#bas #Facebook #Hospital #langgar #Malaysia #maut #pusat pemeriksaan #Singapura
;