Seorang maut, 12 hilang kapal komersial karam di AS

Sinar Harian
April 15, 2021 07:08 MYT
Sebuah kapal cari gali dan gas, Seacor Power karam di luar pantai Louisiana, Amerika Syarikat akibat ribut pada Selasa lalu. - Foto Pasukan pengawal Pantai Amerika Syarikat
WASHINGTON: Seorang individu terbunuh dan 12 lagi hilang selepas sebuah kapal cari gali minyak dan gas komersial karam di luar pantai Louisiana, Amerika Syarikat (AS), kata Pasukan Pengawal Pantai negara itu pada Rabu.
Kapal pasukan pengawal pantai dan milik para sukarewalan berusaha mencari mangsa yang terselamat selepas ia karam pada Selasa dalam ribut dekat Pelabuhan Fourchon, kira-kira 160 kilometer ke selatan New Orleans, memetik laporan Sinar Harian.
Menurut seorang pegawai Pasukan Pengawal Pantai, Kapten Will Watson, beliau menerima satu panggilan dari kapal berkenaan pada jam 4.30 petang waktu tempatan.
"Kami berjaya menyelamatkan enam orang daripada 19 kru kapal tersebut," kata Watson pada satu sidang akhbar seperti dilaporkan oleh AFP.
Tambahnya, mayat mangsa ketujuh insiden itu turut berjaya ditemukan di lautan.
"Operasi bagi mencari 12 lagi mangsa yang hilang mencari diteruskan," jelasnya.
Kapal Seacor Power yang karam itu adalah sepanjang 39.3 meter, kata Pasukan pengawal Pantai.
Pada kebiasaannya, ia digunakan untuk operasi mencari gali minyak dan gas di lautan.
#kapal karam #Louisiana #Amerika Syarikat #cari gali #minyak
;