Seorang kanak-kanak terbunuh setiap 10 minit di Gaza - WHO

Agensi
November 11, 2023 09:20 MYT
Seorang bayi Palestin yang baru lahir menerima rawatan di salah sebuah hospital di Semenanjung Gaza. - Gambar REUTERS
NEW YORK: Seorang kanak-kanak terbunuh secara purata setiap 10 minit di Semenanjung Gaza.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa 'tiada tempat dan tiada siapa yang selamat' di Gaza.
Beliau berkata, separuh daripada 36 hospital di Gaza dan dua pertiga daripada pusat penjagaan kesihatan utamanya tidak berfungsi dan mereka yang beroperasi di luar kemampuan mereka, menggambarkan sistem penjagaan kesihatan sebagai 'lumpuh'.
"Koridor hospital penuh dengan orang yang cedera, orang sakit dan orang mati.
"Bilik mayat melimpah, pembedahan tanpa bius dan puluhan ribu orang yang berlindung di hospital," katanya.
Beliau berkata demikian kepada 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Jumaat.
Sejak 7 Oktober lalu, WHO telah mengesahkan lebih daripada 250 serangan terhadap penjagaan kesihatan di Gaza dan Tebing Barat.
Majlis Keselamatan bertafakur seketika pada permulaan mesyuarat untuk mengingati orang awam yang terkorban di Israel dan Gaza bersama 101 orang yang bekerja dengan agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA).
Tedros dalam pada itu berkata, beliau teringat ketika membesar semasa perang di Ethiopia dan memahami apa yang mesti dilalui oleh kanak-kanak Gaza.
"Bunyi tembakan dan peluru bersiul di udara, bau asap selepas ia melanda, peluru pengesan di langit malam, ketakutan, kesakitan, kehilangan adalah perkara-perkara yang kekal bersama saya sepanjang hidup saya," katanya. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #kanak-kanak terbunuh #israel serang gaza #rejim Zionis
;