Senyuman terakhir cimpanzi buat kawan lama
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 19, 2017 13:47 MYT
Oktober 19, 2017 13:47 MYT
KENANGAN lalu menggamit rindu tidak terperi di antara dua makhluk tuhan yang terpisah sekian lama.
Biarpun terasing di dalam kurungan, namun memori silam yang terjalin bertahun lamanya tidak dapat dilupakan.
Itulah detik yang dialami seekor cimpanzi di saat-saat akhir kehidupannya di Zoo Royal Burgers, Holland.
"Mama" yang berusia 59 tahun jatuh sakit sejak April 2016, dan hanya terbaring tanpa menjamah makanan mahupun minuman yang disediakan.
Namun semua itu berubah apabila Mama dikunjungi bekas penjaga yang juga ‘kawan lamanya’ sejak tahun 1972, Prof Jan van Hoof, profesor dalam bidang biologi tingkah laku haiwan di Universiti Utrecht.
Sumber: Youtube
Namun selepas beberapa ketika, terpancar kegembiraan dalam senyumannya.
Ia lantas menunjukkan reaksi teruja dengan menghulurkan tangan dan mengusap kepala Van Hoof sambil tersenyum.
Mama yang sebelum ini menolak makanan dan minuman yang diberi penjaga zoo mula menjamah makanan daripada kawan lamanya itu.
Detik paling memilukan muncul apabila kedua-dua mereka saling berpelukan melepaskan rindu yang tidak terucap.
Namun, hayat Mama tidak panjang; ia menghembuskan nafas terakhir seminggu kemudian.
Mama dilahirkan pada tahun 1957 dan merupakan cimpanzi tertua di zoo tersebut.