Sengaja langgar kuarantin, sebar COVID-19 kepada orang lain, lelaki di Vietnam dipenjara lima tahun

Agensi
September 7, 2021 12:35 MYT
Vietnam pada awalnya merupakan antara negara di dunia yang berjaya mengawal penularan koronavirus. - Reuters
HANOI: Pihak berkuasa di Vietnam menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke atas seorang lelaki kerana melanggar peraturan kuarantin ketat dan menyebarkan COVID-19 kepada orang lain.
Menurut laporan agensi media tempatan VNA, Le Van Tri, 28, didakwa atas kesalahan ‘menyebarkan penyakit berjangkit yang berbahaya’ dalam satu perbicaraan di Mahkamah Rakyat di wilayah selatan Ca Mau.
Vietnam pada awalnya merupakan antara negara di dunia yang berjaya mengawal penularan koronavirus. Antara langkah yang dijalankan adalah ujian saringan bersasar secara besar-besaran, menjejak kontak secara agresif, kawalan sempadan dan kuarantin yang ketat.
Namun, kemunculan kluster baharu sejak penghujung April lalu telah mencalar rekod tersebut.
“Tri telah pulang ke Ca Mau dari Bandar Raya Ho Chi Minh… sekali gus melanggar peraturan kuarantin selama 21 hari.
“Dalam perjalanannya, dia telah menjangkiti lapan orang, dan salah seorang daripadanya meninggal dunia akibat virus itu selepas sebulan cuba dirawat,” lapor agensi berita itu.
Ca Mau, yang merupakan wilayah paling selatan di Vietnam, hanya merekodkan 191 kes dan dua kematian sejak pandemik bermula, jauh lebih rendah dari hampir 260,000 kes dan 10,685 kematian di pusat jangkitan utama, Bandar Raya Ho Chi Minh.
Vietnam sedang berdepan penularan COVID-19 yang memburuk hingga setakat ini lebih daripada 536,000 orang dijangkiti dan sejumlah 13,385 orang meninggal dunia.
Pihak berkuasa juga telah menjatuhkan hukuman ke atas dua orang lagi atas kesalahan sama, iaitu masing-masing hukuman penjara 18 bulan dan 2 tahun, namun masih ditangguh.
#Vietnam #COVID-19 #pandemik #kes baharu
;