Senator AS minta dokumen dari Johnson & Johnson dakwaan bedak talkum penyebab kanser
Astro Awani
Januari 30, 2019 12:55 MYT
Januari 30, 2019 12:55 MYT
SENATOR Parti Demokratik Amerika Syarikat (A.S), Patty Murray menghantar surat kepada Johnson & Johnson (J&J) pada Selasa susulan dakwaan laporan khas Reuters bahawa syarikat penjagaan kesihatan itu mengetahui kewujudan asbestos dalam produk bedak talkum bayinya.
Surat tersebut ditujukan kepada Ketua Eksekutif J&J, Alex Gorsky bagi mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan untuk menguji produk talkumnya bagi mengesan kehadiran karsinogen dan “bagaimana maklumat itu dipersembahkan kepada pengawal selia dan pengguna.”
Reuters pada 14 Disember menerbitkan satu laporan khas memperincikan bahawa syarikat tersebut tahu yang talkum dalam bedak mentah dan terproses kadang kala didapati positif asbestos yang menyebabkan kanser pada sekitar 1970-an hingga awal 2000-an – keputusan ujian yang tidak didedahkan kepada pengawal selia dan pengguna.
Ketika pendedahan kepada asbestos dikaitkan dengan penyakit mesothelioma, J&J berulang kali menyatakan bahawa produk talkumnya adalah selamat, dan selama berdekad kajian menunjukkan ia bebas asbestos dan tidak mendatangkan kanser.
Jurucakap J&J, Ernie Knewitz menerusi satu kenyataan yang diemel, mengakui menerima surat tersebut dan berkata bahawa syarikat tersebut bersedia untuk berkongsi maklum balasnya dengan senator.
“Sebagaimana yang kami sering nyatakan, kami berdiri teguh di belakang keselamatan dan kebersihan talkum kami, yang telah disahkan oleh ribuan ujian bebas oleh pengawal selia seluruh dunia, termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (U.S. FDA) dan banyak lagi makmal bebas utama dunia,” memetik kenyataan tersebut.
Murray, pemimpin Demokrat dalam Jawatankuasa Senat untuk Kesihatan, Pendidikan, Buruh dan Pencen yang dikawal Republikan, merujuk kepada laporan Reuters dalam suratnya.
“Saya diganggu oleh laporan baru-baru ini tentang dakwaan terhadap usaha berdekad Johnson & Johnson untuk barangkali mengelirukan pengawal selia dan pengguna tentang keselamatan salah satu produknya, yang mungkin menyebabkan keburukan jangka panjang untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menggunakan bedak bayi Johnson & Johnson,” kata Murray.
J&J berdepan dengan lebih 11,000 tuntutan mahkamah yang mendakwa penggunaan produk talkumnya, termasuk bedak bayi, menyebabkan kanser.
Murray meminta dokumen untuk menyokong dakwaan syarikat tersebut yang produk talkumnya ketika ini tidak mengandungi sebarang peringkat bahan asbestos, dokumen berkenaan ujian yang dijalankan terhadap produk talkumnya, dan komunikasi dengan FDA tentang keselamatan bedak bayinya sejak tahun 1966 hingga hari ini.
Astro AWANI sedang cuba mendapatkan respon dari Johnson & Johnson dan Kementerian Kesihatan berhubung dakwaan ini.
#asbestos
#bayi
#bedak
#J&J
#Johnson & Johnson
#karsinogen
#keselamatan
#Patty Murray
#Senator AS
#talkum