Senator AS Bernie Sanders sokong penuntut kolej pro-Palestin

Bernama
Mei 4, 2024 18:04 MYT
Senator Amerika Syarikat (AS) Bernie Senders menyuarakan sokongannya pada Jumaat kepada penuntut kolej yang menunjuk perasaan terhadap serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza. - Foto AP
WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS) Bernie Senders menyuarakan sokongannya pada Jumaat kepada penuntut kolej yang menunjuk perasaan terhadap serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.
"Pada 1962, kami menganjurkan mogok duduk untuk menamatkan dasar perkauman di University of Chicago. Pada 1963 saya ditahan kerana membantah sekolah asingan tetapi kami sememangnya benar.
Saya bangga melihat penuntut membantah serangan di Gaza. Kekalkan tumpuan dan suasana aman. Anda berada di pihak yang benar dalam sejarah," kata Sanders dalama halaman X (dahulunya Twitter).
Sebelum ini, Sanders berkata golongan pelajar termasuk beliau menyertai demonstrasi 60 tahun dahulu untuk meminta supaya Perang Vietnam ditamatkan.
''Ini mungkin Vietnam pada zaman Biden," katanya sambil mempertikaikan Presiden Joe Biden meletakkan dirinya dalam kedudukan yang lemah, dari segi politik dan moral dengan menyokong Israel.
Lebih daripada 2,000 orang termasuk penuntut telah ditahan semasa demonstrasi pro-Palestin di AS dengan peserta meminta pihak universiti supaya memutuskan hubungan dengan pihak Israel dan mengecam serangan ke atas Gaza yang mengorbankan lebih daripada 34,000 orang.
Demonstrasi di seluruh AS mendapat momentum bulan lepas selepas Columbia University meminta Jabatan Polis New York mengusir pelajar-pelajar yang berkhemah di halaman kampus.
Lebih daripada 100 orang ditahan tetapi peserta demonstrasi segera menyesuaikan keadaan dan melakukan mogok duduk pula. Mereka kemudian diusir dari tempat demostrasi dan bangunan yang mereka duduki oleh polis.
Pelajar di negara lain termasuk Kanada, Australia, Perancis dan Mesir juga menganjurkan demonstrasi di universiti-universiti bagi menunjukkan solidariti mereka dengan Palestin.
-- BERNAMA
#Senator AS #Bernie Sanders #sokong #penuntut kojel #pro-Palestin
;