Senat Amerika ingin percepatkan pembukaan semula kerajaan

Astro Awani
Oktober 17, 2013 04:41 MYT
Senat Amerika Syarikat akhirnya mencapai persetujuan untuk mempercepatkan pembukaan semula operasi kerajaan selepas ditutup 16 hari dan menaikkan had siling hutang kerajaan.
Cadangan rang undang-undang itu mendapat persetujuan majoriti kongres dan akan diserah kepada presiden Barack Obama untuk ditandatangani.
Cadangan rang undang-undang itu akan menyaksikan had siling hutang kerajaan dilanjutkan sehingga 7 Febuari depan dan perbelanjaan bagi membiaya operasi kerajaan sehingga 15 Januari.
Persetujuan itu dicapai sehari sebelum tarikh tamat usul menaikkan had siling hutang negara melebihi 16,7 trilion dollar.
Sambil menyifatkan cadangan rang undang-undang itu adalah sesuatu yang bersejarah, Harry Reid yang merupakan Ketua Majoriti Senat berkata kongres kini boleh bekerjasama dalam merangka bajet jangka panjang untuk negara.
Kerajaan Amerika ditutup buat pertama kali dalam tempoh 17 tahun pada 1 Oktober lalu sehingga memaksa sehingga 400,000 kakitangan awam bercuti tanpa gaji.
Penutupan berpunca daripada kongres yang gagal mencapai kata sepakat untuk meluluskan bajet bagi membiayai perbelanjaan dan hutang negara.
Parti Republikan menolak bajet tersebut kerana enggan menyokong pelan kesihatan Obama yang disifatkan sebagai pembaziran.
#Barack Obama #Senat Amerika Syarikat