Senarai Merah: Populasi tuna memulih, namun kenaikan paras laut ancam 'si naga' Komodo

Agensi
September 5, 2021 12:40 MYT
Sementara populasi tuna menunjukkan trend yang semakin membaik, pemanasan global pula mengancam habitat biawak Komodo. - Reuters
GENEVA: Populasi empat spesies tuna yang paling komersial menunjukkan tanda-tanda memulih namun situasi kenaikan paras laut membuatkan biawak Komodo pula memasuki Senarai Merah terkini bagi spesies yang di ambang kepupusan.
Kesatuan Konservasi Alam Antarabangsa (IUCN) yang mengemas kini senarai itu, turut memantau spesies marin seperti batu karang dan siput laut untuk menentukan sama ada ia terjejas dengan perubahan iklim dan ancaman aktiviti perlombongan laut dalam.
“Spesies di laut cenderung untuk diabaikan memandangkan habitatnya yang berada di dalam laut dan manusia tidak memberi perhatian apa yang berlaku,” ujar ketua unit Senarai Merah IUCN, Criag Hilton-Taylor, kepada Reuters.
Bagaimanapun, seiring penetapan kuota penangkapan dan usaha untuk menangani aktiviti perikanan haram yang menunjukkan hasil, populasi tuna dilihat semakin baik.
Tuna sirip biru Atlantik, iaitu spesies ikan pemangsa berdarah panas yang sering diburu untuk menjadi menu sushi dan boleh dijual hingga ribuan dolar, sekarang melonjak tiga kategori – dari keadaan ‘terancam’ kepada 'kurang membimbangkan'. Meskipun begitu, bekalan di beberapa rantau masih kekal di paras rendah.
Nasib tuna sirip biru selatan juga bertambah baik, dari situasi 'terancam secara kritikal' kepada 'terancam' sementara spesies tuna albacore dan sirip kuning sudah diklasifikasi sebagai 'kurang membimbangkan'.
Hilton-Taylor menyifatkan perkembangan itu suatu petanda yang melegakan.
Sementara itu, lain pula kisah ‘si naga’ Komodo, apabila spesies biawak gergasi itu sudah memasuki kategori terancam. Walaupun kewujudannya dilindungi dengan baik di Pulau Komodo, Indonesia, kenaikan paras laut akibat pemanasan global berisiko mengecilkan habitatnya, lapor IUCN.
“Berita tentang haiwan pra-sejarah ini yang semakin hampir dengan kepupusan akibat perubahan iklim, sangat menakutkan,” kata Pengarah Konservasi di Zoological Society of London, Andrew Terry.
IUCN pada masa yang sama menzahirkan kebimbangan terhadap spesies jerung dan ikan pari, yang menunjukkan situasi lebih buruk daripada tuna.
"Sekarang kita perlu ambil contoh itu (usaha konservasi tuna) dan cuba mengaplikasikannya dalam industri berkaitan jerung,” tegas Hilton-Taylor, yang menambah bahawa trend itu ‘menunju ke arah yang salah’.
Menurutnya, kecenderungan menuju kepupusan bagi jerung dan ikan pari kini adalah setinggi 37 peratus, berbanding amfibia (33 peratus), mamalia (26 peratus) dan burung (12 peratus).
Kemas kini laporan itu telah dibentangkan dalam sebuah persidangan konservasi di Marseilles, Perancis.
#spesies terancam #tuna #biawak komodo #senarai merah #hidupan liar
;