Senarai jemputan ke istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II
Faida Rahim
September 19, 2022 14:45 MYT
September 19, 2022 14:45 MYT
LONDON: Istiadat pemakaman Ratu Elizabeth dijangka bermula pada pukul 6 petang ini di Westminster Abbey, London.
Disiarkan secara langsung di televisyen untuk tontonan seluruh dunia, istiadat berkenaan turut dihadiri oleh 2,000 tetamu khas yang diundang oleh kerajaan Britain untuk menyaksikan perjalanan terakhir mendiang Ratu Elizabeth II.
Istiadat ini juga bakal menjadi antara perhimpunan terbesar yang dianjurkan di United Kingdom selama beberapa dekad.
Berikut senarai tetamu undangan khas:
Keluarga diraja
Sebahagian besar kerabat diraja Eropah mengesahkan kehadiran mereka di Istiadat bersejarah pada petang ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mewakili Malaysia.
Maharaja Jepun, Naruhito dan Maharani Masako pula mewakili kerajaan Jepun.
Raja Harald V dari Norway, Putera Albert II dari Monaco, Raja Belanda, Willem-Alexander, Raja Sweden Carl XVI Gustaf dan Raja Belgium, Philippe, semuanya juga akan hadir.
Permaisuri Denmark, Margrethe II, turut membatalkan acara menandakan jubli ke-50 kerana ingin hadir memberikan penghormatan terakhir.
Turut mengesahkan keberangkatan ialah Raja Sepanyol, Felipe VI bersama isterinya, Ratu Letizia termasuk bapanya, Raja Juan Carlos I yang kini tinggal dalam buangan di Emiriah Arab Bersatu.
Pemimpin dunia
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan isteri, Olena dijangka hadir memandangkan beliau melawat keranda ratu di Westminster Hall pada Ahad lalu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan isterinya Jill akan mengetuai senarai tetamu diplomatik dan terbang ke Britain lewat kelmarin, turut memberi penghormatan di hadapan keranda semalam.
]
Beliau dilaporkan hadir dengan limosin berperisai ‘The Beast’.
Istana Elysee memaklumkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan hadir bagi menunjukkan ikatan yang 'tidak dapat dipisahkan' dengan Britain serta memberi penghormatan kepada 'ratu abadi'.
Presiden Recep Tayyip Erdogan dari Turki dan Jair Bolsonaro dari Brazil akan datang, manakala China diwakili Naib presidennya, Wang Qishan, atas jemputan kerajaan Britain.
Meskipun Britain berpisah daripada Kesatuan Eropah melalui Brexit, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Ketua Majlis Eropah Charles Michel akan hadir memberi penghormatan terakhir.
Ketua negara lain yang turut hadir termasuk Presiden Itali, Sergio Mattarella, Frank-Walter Steinmeier (Jerman), Isaac Herzog (Israel) dan Yoon Suk-yeol (Korea Selatan).
Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin jug akan hadir memberi penghormatan kepada mendiang yang pernah melakukan lawatan ke negara itu pada 2011 sekali gus membantu memulihkan ketegangan berdekad lamanya.
Wakil negara Komanwel
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese dan New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan kehadiran mereka.
Sementara pemimpin dari 56 negara Komanwel lain termasuk Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina; Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dan Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama.
Di sebalik hubungan yang tegang, kerajaan Britain uga memilih hanya menjemput duta, bukan ketua negara, iaitu dari beberapa negara antaranya Iran, Nicaragua dan Korea Utara.
Tetamu yang tidak dijemput
Rusia dan Belarus adalah antara sekumpulan kecil negara yang dikecualikan sama sekali berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Presiden Rusia Vladimir Putin - di bawah larangan perjalanan ke UK atas faktor sekatan selain wakil negara-negara lain yang tidak dijemput ialah Myanmar, Syria, Venezuela dan Afghanistan.