Semua rakyat Malaysia dinasihatkan daftar dengan kedutaan di Kiev, Ukraine
Astro Awani
Februari 14, 2022 15:23 MYT
Februari 14, 2022 15:23 MYT
KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine dan belum berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kiev digesa supaya segera menghubungi dan menjalani proses berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri menjelaskan, ini akan memudahkan pihak Kedutaan untuk menghulurkan bantuan konsular sebaik sahaja mereka memerlukan bantuan sedemikian.
Kementerian Luar Negeri juga memaklumkan, pihaknya memantau dengan teliti perkembangan di dalam dan sekitar Ukraine, terutama situasi 20 warga Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan.
"Kedutaan Malaysia di Kiev juga berhubung rapat dengan seluruh rakyat Malaysia juga termasuk dua pelajar untuk memastikan keselamatan mereka, dan menyediakan bantuan konsular jika diperlukan.
"Wisma Putra menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine dan belum berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kiev menghubungi dan berdaftar dengan kedutaan dengan segera.
"Semua rakyat Malaysia di Ukraine dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya terhadap keselamatan mereka dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan," kata kenyataan tersebut.
Berikutan ketegangan yang berlaku di Ukraine, beberapa negara antaranya, Jepun telah memindahkan sebahagian kakitangan diplomatik dari Kiev sejak minggu lepas.
Sementara itu, Singapura turut menasihatkan rakyatnya meninggalkan Ukraine secepat mungkin berikutan ketegangan di negara itu dan wilayah sekitarnya semakin memuncak.