Semua negara wajib tamatkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin - Suruhanjaya Siasatan PBB

Bernama
Oktober 18, 2024 00:37 MYT
Pendudukan Israel adalah punca utama kepada kitaran keganasan yang tidak berkesudahan dan konflik selama beberapa dekad. - AP
GENEVA: Satu kertas pendirian oleh Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Israel menyatakan bahawa kehadiran berterusan rejim itu di Wilayah Palestin yang Diduduki adalah menyalahi undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
WAFA melaporkan bahawa Navi Pillay yang mempengerusikan suruhanjaya itu berkata pendudukan Israel adalah punca utama kepada kitaran keganasan yang tidak berkesudahan dan konflik selama beberapa dekad.
Beliau menegaskan suruhanjaya itu telah membuat kesimpulan dalam laporannya kepada Perhimpunan Agung pada 2022, bahawa pendudukan itu adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata bahawa semua negara wajib untuk tidak mengiktiraf tuntutan wilayah atau kedaulatan yang dibuat oleh Israel ke atas wilayah yang diduduki.
Pillay turut menyatakan bahawa sesebuah negara tidak boleh mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel atau meletakkan wakil diplomatiknya ke Israel di Baitulmuqaddis, yang dituntut oleh rakyat Palestin sebagai ibu negara negara masa depan mereka.
Menurut pengerusi suruhanjaya, negara-negara juga tidak boleh memberi bantuan atau sokongan dalam mengekalkan pendudukan yang tidak sah berkenaan, termasuk bantuan kewangan, ketenteraan dan sokongan politik.
-- BERNAMA
#Palestin #Israel #PBB #suruhanjaya siasatan #genosid #pendudukan
;