Sembilan terbunuh, Houthi ikrar balas tindakan AS
Astro Awani
Mac 16, 2025 10:00 MYT
Mac 16, 2025 10:00 MYT
Asap tebal dilihat dari sebuah bangunan yang dilaporkan terkena serangan AS di Sanaa, Yaman. - Foto AP
SANAA: Sekurang-kurangnya sembilan orang awam terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas ibu negara Yaman, Sanaa.
Kumpulan houthi mengutuk serangan itu sebagai "jenayah perang" dan berikrar untuk membalas tindakan AS.
Penduduk di Sanaa melaporkan bahawa serangan tersebut menyasarkan sebuah bangunan di kawasan yang dikuasai Houthi.
Sejak November 2023, kumpulan Houthi telah melancarkan lebih 100 serangan ke atas kapal dagang, mendakwa tindakan mereka sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Serangan Houthi itu menyebabkan gangguan besar kepada laluan perkapalan global, dengan beberapa syarikat perkapalan terpaksa mengubah laluan ke sekitar Afrika Selatan, sekali gus meningkatkan kos penghantaran.
Pentadbiran sebelum ini di bawah Presiden Joe Biden telah berusaha untuk melemahkan keupayaan Houthi dalam menyerang kapal di perairannya, namun langkah yang diambil adalah terhad.
Bagaimanapun, menurut pegawai AS, Trump kini meluluskan pendekatan lebih agresif terhadap kumpulan itu.