Sembilan tahun penantian, kiamat belum bertandang
Astro Awani
Oktober 15, 2019 05:14 MYT
Oktober 15, 2019 05:14 MYT
Polis Belanda menyelamatkan sebuah keluarga terdiri dari seorang lelaki berumur 58 tahun bersama enam individu lain, antara 16 dan 25 tahun, dari hidup berasingan selama sembilan tahun menunggu dunia kiamat.
Kes 'persembunyian sukarela' ini terbongkar apabila seorang dari mereka ditemui memesan dan terus minum lima tin bir dengan gaya 'kemaruk' di sebuah pub di Ruinerwold.
Rupa yang tidak terurus, rambut yang panjang dan kusut masai, serta bau yang tidak menyenangkan menyebabkan pengunjung pub bertanyakan halnya, lantas terbongkar cerita.
Lelaki itu menceritakan, dia tidak pernah ke sekolah dan sudah tidak menggunting rambut selama sembilan tahun.
Polis Belanda yang dibawa ke tempat 'persembunyian' keluarga di sebuah rumah terpencil menemui 'ketua keluarga' – lelaki berumur 58 tahun - bersama beberapa individu lain.
"Kami temui enam orang yang tinggal di satu ruang kecil di dalam rumah itu, yang boleh dikunci, tetapi ia bukan 'cellar' (ruang bawah tanah).
"Tidak dapat dipastikan sekiranya mereka secara sukarela tinggal di situ," kata pihak berkuasa tempatan dalam satu kenyataan.
"Mereka kata mereka ialah sebuah keluarga, seorang bapa dengan lima anaknya," tambah polis lagi.
Pemilik pub berkata, dia menghubungi polis selepas lelaki yang memesan bir itu menceritakan kepadanya dari mana dia datang.
"Dia beritahu saya dari mana dia datang, katanya dia telah melarikan diri dan dia perlukan pertolongan segera," katanya.
Menurut polis, keluarga itu kini "berada di tempat yang selamat dan menerima rawatan dan perhatian yang sewajarnya."
Ruinerwold, sebuah bandar kecil yang terletak lebih 140km ke utara Amsterdam berpenduduk tidak sampai 3,000 orang.
Selepas penemuan menakjubkan pada Selasa, jumlah penduduknya bertambah enam orang lagi!