Sembilan rusa di Nara Park Jepun mati termakan plastik pemberian 'pelancong degil'
Agensi
Julai 11, 2019 08:45 MYT
Julai 11, 2019 08:45 MYT
Sembilan ekor rusa di Nara Park, Jepun mati selepas termakan beg plastik, lapor aktivis hidupan liar pada Rabu yang menyalahkan trend pelancongan yang tidak terkawal.
Agensi berita AFP melaporkan, Yayasan Pemuliharaan Rusa Nara berkata bahawa gumpalan beg plastik dan bungkusan snek ditemui dalam perut bangkai rusa yang dibedah siasat.
Kematian rusa di taman hidupan liar popular itu direkodkan antara Mac dan Jun tahun ini.
“Sampah terbesar yang ditemui dalam perut salah seekor rusa itu adalah seberat 4.3 kilogram. Kami sangat terkejut,” ujar pegawai rasmi yayasan itu, Yoshitaka Ashimura.
Taman rusa itu mempunyai lebih daripada 1,000 ekor rusa, yang dibiarkan bebas berkeliaran di jalanan dan sering mendekati para pelancong yang menawarkan biskut khas untuk haiwan itu.
Para pelancong dilarang memberi makanan selain daripada biskut yang disediakan, namun Ashimura berkata, masih ada sesetengah pelancong yang memberikan makanan berlainan sesuka hati.
"Rusa-rusa yang menjadi mangsa itu mungkin menyangka bahawa snek dan bungkusannya boleh dimakan terus.
“Haiwan-haiwan itu juga memakan beg plastik yang dibuang ke tanah,” ujarnya yang merumuskan kes kematian itu berlaku sejak bilangan kedatangan pelancong ke taman itu melonjak.
Selain rusa, taman itu juga menawarkan pemandangan menarik termasuk kuil binaan kayu yang dibina sejak berkurun-kurun lamanya.
Bilangan pelancong yang mengunjungi bandar Nara meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan tahun 2017 merekodkan sejumlah 16 juta orang.
#aktivis haiwan
#alam sekitar
#bahaya plastik
#hidupan liar
#Jepun
#nara
#nara park
#pelancongan tidak terkawal
#rusa mati
#rusa termakan plastik
#taman rusa