Sembilan maut kuil runtuh akibat hujan lebat di India
Astro Awani
Ogos 14, 2023 06:15 MYT
Ogos 14, 2023 06:15 MYT
SEKURANG-kurangnya sembilan maut manakala puluhan yang lain dikhuatiri terperangkap selepas sebuah kuil Hindu purba di Shimla, ibu negeri Himachal Pradesh, India, ranap akibat tanah runtuh, pada Isnin.
Pada masa sama, ratusan jalan ditutup dan sebahagian landasan kereta api Kalka-Shimla dihanyutkan air susulan hujan lebat yang melanda negeri utara India itu.
Menurut laporan BBC, keseluruhannya hampir 50 orang maut dalam insiden berkaitan hujan dalam tempoh 24 jam yang lalu di negeri itu.
Terdahulu, Ketua Menteri, Sukhvinder Singh Sukhu yang melawat lokasi kejadian berkata, sekurang-kurangnya 20 hingga 25 orang terperangkap di bawah runtuhan kuil tersebut.
Beliau turut berkongsi di media sosial kejadian banjir kilat dan hujan sangat lebat yang turun secara tiba-tiba, berlaku di bahagian lain di negeri itu, mengorbankan 14 nyawa.
Menerusi perkongsian video, Sukhvinder memperlihatkan kejadian di Mandi, di mana aliran air yang kelihatan seperti sungai bergerak menuruni bukit di atas jalan-jalan utama dan rumah-rumah.
Menyifatkan perkara itu sebagai 'membimbangkan', beliau berkata, tujuh orang telah dihanyutkan air dalam insiden itu.
BBC melaporkan, ribuan pelancong melawat Himachal Pradesh setiap tahun, terutamanya Shimla, untuk menikmati cuaca sejuk dan panorama menarik.
Bagaimanapun, negeri itu mengalami hujan lebat semasa musim tengkujuh, mencetuskan banjir dan tanah runtuh.
Video yang dikongsi di media sosial sejak beberapa hari lalu menunjukkan kenderaan dan bangunan dihanyutkan air sungai, pokok tumbang menimpa kenderaan dan pelancong terkandas akibat penutupan jalan.
Sukhvinder merayu kepada orang ramai supaya diam di dalam rumah dan tidak menghampiri kawasan sungai.