Sembilan maut, 13 cedera dalam dua letupan di Afghanistan
Astro Awani
April 28, 2022 07:59 MYT
April 28, 2022 07:59 MYT
SEKURANG-kurangnya sembilan maut, manakala 13 yang lain cedera dalam dua kejadian letupan yang mengegarkan utara Afghanistan pada Khamis.
Letupan itu menyasarkan dua kenderaan berasingan dalam kejadian yang berselang masa beberapa minit, di Mazar-e-Sharif, ibu kota wilayah Balkh.
Punca letupan tidak dapat dikenal pasti dan jurucakap ketua polis yang dilantik Taliban tidak memberikan maklumat lanjut.
Ketika ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.
Namun, menurut penduduk, anggota etnik Hazara daripada minoriti Syiah dipercayai menjadi sasaran.
Minggu lalu, 33 penganut Syiah terbunuh apabila serangan bom memusnahkan masjid dan bangunan sekolah.
Militan Daesh menjadi musuh utama pemerintahan Taliban dan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.