Sembilan cedera dalam letupan mortar ketika Taiwan adakan latihan tentera
Bernama
Julai 24, 2023 21:06 MYT
Julai 24, 2023 21:06 MYT
ISTANBUL (Turkiye): Sekurang-kurangnya sembilan orang cedera dalam letupan mortar pada Isnin ketika Taiwan memulakan latihan ketenteraan tahunan lima harinya.
Kementerian Pertahanan pulau itu mendedahkan bahawa letupan berlaku di depot peluru di pangkalan tentera Hsiang Feng di bandar pelabuhan Keelung berhampiran ibu kota Taipei, lapor Agensi Anadolu memetik laman sesawang berita Focus Taiwan.
Kejadian berlaku kira-kira 3 petang (0700GMT) waktu tempatan ketika kakitangan teknikal sedang melakukan pemeriksaan dan dua daripadanya kini kritikal.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca di sebalik kejadian.
Taiwan mengadakan latihan ketenteraan dikenali sebagai Han Kuang edisi ke-39 sejak 1984, merentasi Selat Taiwan.
Latihan ketenteraan itu "menguji keupayaan tenteranya untuk menangkis pencerobohan," menurutFocus Taiwan, memetik Kementerian Pertahanan pulau itu.
Sementara itu, China menerbangkan 11 jet manakala enam kapal tentera laut dari tanah besar belayar di sekitar Taiwan pada Isnin.
Sebanyak 46 latihan pertahanan udara akan berlangsung sehingga Khamis.
"Orang awam dikehendaki berlindung di kediaman masing-masing apabila latihan pertahanan udara dijalankan di kawasan mereka," menurut kementerian.
Latihan tahun ini akan menyaksikan angkatan bersenjata Taiwan menggunakan lapangan terbang awam utama negara itu buat kali pertama semasa latihan ketenteraan tahunannya.
Latihan anti-pengambilalihan itu dijangka diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan dan Lapangan Terbang Taitung di timur Taiwan.
Walaupun latihan serupa telah dijalankan di lapangan terbang Taiwan yang lain, ini akan menjadi latihan pertama dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.
Latihan itu melibatkan anggota Komando Penerbangan dan Pasukan Khas Udara dan Tentera Darat, melakukan simulasi pencerobohan.
-- BERNAMA