'Sembako' bawa makna besar kepada mangsa tsunami
Bernama
Januari 10, 2019 07:38 MYT
Januari 10, 2019 07:38 MYT
'Syukur dan terima kasih', itulah antara perkataan yang diucapkan oleh mangsa tsunami yang melanda Selat Sunda pada 22 Dis lepas, apabila sukarelawan Malaysia datang memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka.
Ketika mereka dalam kesulitan mendapatkan sembako (barangan keperluan asas), apabila ditimpa bencana itu, ramai sukarelawan tidak putus-putus memberi bantuan kepada mereka.
Sembako merupakan bahasa tempatan yang merujuk kepada barangan seperti beras, gula, minyak masak, susu, daging dan telur ayam.
Setiap kali kereta atau van yang datang membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Sumur mahupun Taman Jaya 2, kelihatan anak-anak kecil berlari-lari mengejar kenderaan untuk mendapatkan bantuan.
Ketibaan kami disambut dalam keadaan mereka yang sungguh menyedihkan - wajah yang comot, baju compang-camping dan selekeh.
Tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata kerana keadaan mereka ini terlalu daif, sehinggakan wartawan Bernama yang membuat liputan di sini, selama enam hari turut berlinangan air mata dan merasai penderitaan mereka.
Seorang daripada ribuan mangsa tsunami, Endang, 45, berkata dia amat terharu apabila sukarelawan Malaysia daripada Global Peace Mission (GPM) datang memberi bantuan sembako di sini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka (sukarelawan GPM) kerana memberi sembako dan kelengkapan baju sekolah kepada anak saya.
"Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian untuk apa (bantuan) yang diberikan kepada kami," katanya yang mempunyai dua anak lelaki berumur tujuh dan sembilan tahun itu.
Endang berkata dengan sembako dan kelengkapan sekolah yang diterimanya membolehkan kedua-dua anaknya kembali bersekolah dan amat menceriakan mereka.
Rumah Endang antara yang dihanyutkan dalam ombak deras tsunami yang jaraknya hanya 30 meter dari pinggiran pantai Sumur.
Seorang lagi mangsa yang merupakan nelayan, Dimitri berkata dia hanya mampu mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas bantuan yang diberi.
"Terima kasih pada sukarelawan Malaysia atas bantuan yang diberi. Segala kelengkapan persekolahan anak saya telah hilang dihanyutkan tsunami.
"Ketiga-tiga anak saya menangis dan teruja apabila menerima kelengkapan persekolahan ini. Mereka kembali bersemangat untuk ke sekolah," kata bapa kepada tiga anak perempuan berumur lapan, sembilan dan 11 tahun.
Rumah Dimitri di Taman Jaya 2, antara ribuan yang musnah dan hanya tinggal tiang rumah ketika badai tsunami menghempaskan ombaknya.
Sabtu lepas, pasukan sukarelawan GPM membeli sembako dan kelengkapan persekolahan di Pasar Rau, di sini.
Ketua Misi GPM Malaysia Shahrir Azfar Saleh berkata kesemua bantuan persekolahan diberi kepada 108 murid sekolah rendah dan pihaknya turut membeli 60 helai set solat ekspres telekung wanita serta 120 pakaian dalam wanita.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui talian www.billplz.com/peduliselatsunda atau deposit ke Bank Global Peace Mission di akaun Maybank Islamic (5642-2161-1602); Bank Islam (1402-30100-29224); dan Affin Islamic Bank (1051-9000-2871).
Lima orang terdiri daripada dua wakil GPM, wartawan Bernama Muhammad Afiq Mohd Asri, wartawan Bernama News Channel Siti Zanariah Nor Zin serta jurukamera Mohammad Hafiz Ahmad Kamal turut serta dalam misi kali ini.
Tsunami, yang melanda Selat Sunda pada 22 Dis lepas, berlaku ekoran pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau yang diikuti gombang air pasang serta gelombang kuat.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan sehingga kini lebih 400 orang maut manakala 30,000 hilang tempat tinggal.
-- BERNAMA
#Anyer
#Banten
#bantuan
#Global Peace Mission
#hilang
#Indonesia
#keperluan asas
#Malaysia
#mangsa
#maut
#rumah
#sekolah
#Selat Sunda
#sembako
#Shahrir Azfar Saleh
#sukarelawan
#tsunami