Semakin ramai rakyat Myanmar turun ke jalanan bantah rampasan kuasa tentera
Astro Awani
Februari 8, 2021 06:13 MYT
Februari 8, 2021 06:13 MYT
NAYPYITAW: Rakyat Myanmar semakin ramai turun ke jalanan untuk membantah tindakan tentera merampas kuasa dan menahan Aung San Suu Kyi.
Tunjuk perasaan yang memenuhi jalan-jalan utama di Yangon, berlangsung tiga hari berturut-turut.
Kebanyakan peserta tunjuk perasaan adalah golongan muda.
Mereka turun membawa plakad tertulis kata-kata kreatif dan melucukan.
Mereka turut melaungkan slogan anti-tentera yang disifatkan kejam lagi zalim.
Pada Isnin, iaitu genap seminggu insiden rampasan tentera, penunjuk perasaan menjadikan bangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Yangon sebagai lokasi protes.
Mereka mahu badan dunia itu lebih tegas dalam menekan tentera untuk mengembalikan semula Myanmar ke pangkuan demokrasi.
Sehari sebelum itu, protes dari Yangon merebak ke Sule Pagoda.
Di sebalik tindakan tentera menutup akses kepada internet, penunjuk perasaan berkomunikasi sesama mereka menerusi platform media sosial termasuk Instagram dan Twitter bagi tujuan meneruskan protes.
Tentera sebelum ini menutup Facebook bagi menghalang sebarang tindakan balas apabila memutuskan untuk merampas kuasa dan menahan Suu Kyi serta beberapa pemimpin kanan lain dalam Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).
Talian internet juga ditutup kerana protes semakin marak sejak tiga hari lepas.
Bagaimanapun, pada Ahad, akses kepada internet dikembalikan semula dan rata-rata warga Myanmar sudah boleh mengakses semula kepada internet masing-masing.
Antara lain, peserta protes mahu Suu Kyi dan pemimpin NLD dibebaskan selepas ditahan minggu lalu.
Selain itu, mereka turut mendesak kepmimpinan tentera diktator dihapuskan.