Semakin banyak lokasi larangan merokok di Singapura
Agensi
April 19, 2015 15:29 MYT
April 19, 2015 15:29 MYT
Tabiat merokok mungkin akan diharamkan di lebih banyak lokasi di Singapura pada masa akan datang selepas sebuah perbincangan mengenainya berlangsung antara pemerintah dengan pihak berkepentingan, lapor portal berita ChannelNewsAsia.com.
Menteri Kedua Alam Sekitar dan Sumber Air, Grace Fu sedang menilai perkembangan selanjutnya yang bertujuan menyediakan Singapura yang bebas daripada asap rokok.
Bagaimanapun, beliau berkata bahawa polisi yang dibuat perlu seimbang antara impak tabiat merokok terhadap bukan perokok dan juga keperluan golongan perokok.
Selain hampir semua kawasan awam tertutup, larangan merokok di republik itu telah diperluas pada tahun 2013. Lokasi larangan yang disenaraikan adalah di bawah kolong blok, laluan pejalan kaki berbumbung dan radius lima meter dari perhentian bas.
Dalam sesi perbincangan tersebut yang turut disertai organisasi bukan kerajaan (NGO), para profesional perubatan dan golongan perokok serta bekas perokok.
Ramai yang menyokong agar disediakan tempat khas untuk merokok manakala sesetengahnya pula meminta agar tempat itu ditutup.
“Kami menerima cadangan agar tempat merokok itu bukan sekadar dibuat garisan malah tembok pemisah kerana asap rokok boleh tersebar ke tempat lain,” ujar Peter Ong, seorang perokok dan juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Tai Seng Gardens.
Terdapat juga cadangan larangan merokok dikenakan ke atas mereka yang lahir selepas tahun 2000.
Dr Koong Heng Nung dari Hospital Mount Elizabeth Novena berkata: “Cadangannya adalah untuk melarang penggunaan tembakau bagi tahun kelahiran tertentu dan seterusnya. Kita bukan mahu melarang perokok yang sedia ada tetapi untuk menghasilkan norma sosial baharu kepada generasi perokok.”
Polisi pemerintah selama ini adalah sekadar memberitahu lokasi larangan merokok namun ia telah menimbulkan kekeliruan. Maka, pihak pemerintah kini mahu memberi tumpuan kepada peraturan di tempat yang dibenarkan merokok.
“Kita perlu peraturan yang jelas supaya orang awam memahami di mana sesetengah kelakuan dibenarkan dan di mana tabiat merokok tidak dibenarkan.
“Bagi ramai perokok yang bertanggungjawab, ini akan memudahkan mereka. Mereka mahu mengikuti peraturan dan mahu mengetahui perkara terbaik untuk dilakukan,” ujar Fu yang juga menekankan soal penguatkuasaan bagi pihak yang melanggar peraturan.