AS semak penghantaran 900kg bom kepada Israel - Blinken
Astro Awani
Jun 19, 2024 09:10 MYT
Jun 19, 2024 09:10 MYT
SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken mengesahkan AS menghentikan penghantaran bom seberat 900kg kepada Israel kerana bimbang dengan kesejahteraan rakyat Palestin di Gaza.
Bagaimanapun, kata Blinken, pentadbiran AS masih menyemak sekatan berkenaan.
“Kami sedang menyemak satu penghantaran senjata iaitu 2,000 paun (900kg) bom yang telah dibincangkan oleh Presiden AS Joe Biden kerana kebimbangan kami tentang penggunaannya di kawasan berpenduduk padat seperti Rafah,” jelasnya pada satu sidang media di Washington DC.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebelum ini mendakwa Blinken memberi jaminan kepadanya bahawa pentadbiran Biden sedang berusaha untuk membatalkan sekatan ke atas penghantaran senjata ke Israel.
Blinken pada sidang media yang sama berkata, Amerika ketika ini masih berusaha merapatkan jurang dalam rundingan gencatan senjata Gaza, kerana Hamas didakwa terus menambah syarat baharu kepada kelulusannya terhadap perjanjian yang dicadangkan.